KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM48 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, adalah amat penting bagi setiap projek dilaksanakan dengan cekap dan mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Oleh demikian kita mahu semua agensi di bawah kementerian ini melihat perkara tersebut untuk mewujudkan kerjasama lebih sebagai satu pasukan bagi memastikan semua projek pembangunan berjaya disiapkan,” katanya.
Bercakap semasa Majlis Serah Terima Tugas Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak di Kuching pada Rabu, tambahnya, kejayaan menyiapkan projek pembangunan penting bagi membantu negeri mencapai hasrat rakyat berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah mengingatkan pegawai agensinya bahawa rakyat dan kerajaan menaruh harapan tinggi kepada kementerian dalam melaksanakan semua projek yang telah diluluskan terutamanya selepas rakyat memberi sokongan yang kuat semasa pilihan raya baru-baru ini.
“Rakyat telah memberikan sokongan yang kuat kepada kita dalam pilihan raya negeri baru-baru ini dan mereka pasti mempunyai harapan yang sangat tinggi untuk kita menunaikan semua janji pilihan raya.
“Kerajaan juga mempunyai harapan yang sama untuk kita untuk menjayakan projek.
“Apabila kita boleh menggunakan semua peruntukan yang diberikan, kita juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kita dan rakyat akan mendapat manfaatnya.
“Jika peruntukan tidak dibelanjakan atau projek tertangguh, objektif pertumbuhan ekonomi juga tidak tercapai.
“Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyatakan harapan Sarawak dapat mencatatkan pertumbuhan ekonomi lapan peratus setiap tahun selepas 2030,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata Ketua Menteri juga mahu Pejabat Kewangan Negeri mencari mekanisme terbaik bagi sistem tender dalam melantik kontraktor.
“Kita mahukan kontraktor yang boleh melaksanakan projek dengan baik dan mengikut jadual,” tambahnya.
Pada majlis tersebut, Datuk Amar Douglas Uggah menyerahkan tugas rasmi Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan kepada Datuk Majang Renggi dan Aidel Lariwoo.
Beliau turut menyerahkan tugas rasmi kepada mantan Menteri Muda kementerian itu, Datuk Julaihi Narawi yang dilantik sebagai Menteri Utiliti dan Telekomunikasi.-EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS